Tuesday, September 29, 2009

Aisyah dan encik rotan berdamai.
















Tiba-tiba Aisyah jumpa encik rotan. Dengan beraninya (sebab dia tak buat salah) dia menunjukkan,

Aisyah : Ibu,... tengok ini...( menunjukkan encik rotan pada akak ).

Ibu : (buat-buat tanya) Ini namanya apa?....

Aisyah : Encik rotan...( sambil menyebat atas meja makan.) Dia takda mata..tak da kaki.... (sambil ketawa lega......).



Encik Rotan mengamuk lagi.




Semalam sedang akak leka membaca blog, tiba-tiba sms berbunyi. Melihatkan Ain dan Aisyah ada bersama-sama dalam bilik akak, maka akak pun meminta Ain mengambilkan handphone akak di meja sebelah katil. Berlarilah Ain mengambilkan handphone.

Tiba-tiba Aisyah datang tepi akak dan Ain ..... menangis sambil mencampakkan roti yang sedang dimakannya sebagai tanda protes dan marah kerana dia tak disuruh ambil handphone untuk akak. Dah campak roti siap pijak lagi.... Apalagi... akak pun bingkas bangun, pandang atas almari baju mencari rotan. Tak de lah pulak....

Panggil kakak zahrah untuk cari rotan di bilik bawah. Tak lama kemudian, dia pun naik ke atas dan menghulurkan encik rotan.

Apalagi, sebaik dapat... encik rotan pun memulakan tugasnya. Tangan yang tadinya digunakan untuk mencampak roti... dikenalkan pada encik rotan. Aisyah menahan sakit tapi berhenti menangis dan terus turun terisak-isak ke bilik bibik. Bila dia tahu kesalahannya, dia tidak akan menangis bila dikenalkan dengan encik rotan. Aisyah kemudiannya minta susu dan tertidur.

Monday, September 28, 2009

Anak dan emak.. sama aje...
















Rupa-rupanya semalam, Ain sambil bermain air sambil itu juga dia mengumpul siput dan umang-umang. Tidak pula akak perasan yang siput dan umang-umang itu telah di bawanya pulang bersama.

Hanya baru tadi akak lihat dia terlalu leka bermain di dapur. Rupa-rupanya Ain telah berjaya menyeludup siput dan umang-umang dari pantai morib.

Semasa akak kecil dahulu, arwah mak akak telah mengenalkan umang-umang kepada akak. Akak juga telah membawa pulang seekor umang-umang yang akak jumpa di tepi pantai sewaktu akak dan arwah emak akak berkunjung ke tepi pantai jeram, selangor. Emak menunjukkan tabiat umang-umang yang gemar menumpang kulit siput dan jalannya senget... Sungguh menghiburkan,



Sunday, September 27, 2009

Pergi Beraya.

Petang semalam, selesai dialysis, kami terus menuju kerumah abang akak iaitu Abg Ijoy dan Kakak Maah di Keramat. Dari Hospital serdang ke Keramat, boleh mengambil masa 2 jam perjalanan. Dari serdang ikut hulu langat ( jalan pintas ampang-hulu langat highway ), keluar kat ampang bukit belacan, masuk taman kosas keluar di ampang jaya. Melihatkan MRR2, sedang sesak dengan kereta, kami memasuki Akleh... keluar ke jalan tun razak selatan, masuk jalan damai keluar ke jalan ampang. Masuk pula jalan jelatek terus ke setiawangsa.

Akibat kesesakan jalanraya, puas jugalah berpusing-pusing nak menuju ke satu tempat. Anak-anak dah kelaparan minta makan. Perjalanan yang sepatutnya sekejap, dah mengambil masa 2 jam.

Tiba di rumah abang ijoy, duduk sebentar dan tumpang solat, barulah kami mengadap makanan. Kak Maah menyediakan makanan nasi berlaukkan kari ikan, sambal udang, sambal belacan, ikan masin, ulam-ulam dan rojak buah. Tanpa membuang masa, masing-masing menyenduk makanan.

Kari ikan kak maah memang sedap... ditambahkan pula dengan sambal belacan dan sambal udang, adoiii.... menyengat...macam tak pernah makan sesedap itu. Perut pula, selepas dialysis memang lapar. Bertambahlah selera makan.

Selesai makan, pekena bubur kacang pulak.. ( Akak sebenarnya sejak dah kena sakit buahpinggang ni, banyak makanan yang dulu akak tak gemar, dah gemar sangat sekarang...) Sedap betul rasanya. Kat rumah tak pernah buat bubur kacang ni...

Qeeb pula kesedapan dengan gulai kari dan sambal belacan makcik maahnya, berulang-ulang mengambil bendir dan ulam-ulam untuk dicicah sambal. Selera Qeeb dan aisyah macam selera akak. Selera Ain, beza. Dia hanya makan nasi bersama ikan goreng. Zahrah pula, makan ala kadar. Suami akak yang masih kekenyangan selepas makan kenduri kawin anak teman baiknya, makan ala kadar juga, nampaknya akak dan qeeb betul-betul enjoy makan petang tu.

Selesai urusan di rumah abang ijoy, kami pun beransur pulang. Kami sebenarnya ingin recce Duke Highway ke Sri Pentas TV3 kerana pada 30hb September, suami akak di jemput untuk temuramah di Malaysia Hari ini di Sri Pentas. Suami akak kena keluar awal pagi dan jika kita dah tahu jalan, mudahlah dia nak menuju terus ke Sri Pentas.

Dari Setiawangsa ke Duke Highway, terus ke Jalan Duta, ambil Sprint Highway kemudian Penchala Link terus ke Sri Pentas. Mudahnya. Tak perlulah kita bersesak-sesak di tengah bandaraya macam dulu. Kalau dulu, kena ikut parlimen... jalan semantan... baru dapat masuk TTDI...tapi sekarang, mudah sangat.

Setelah lalu di depan pintu utama Sri Pentas, kami pun berangkat pulang. Niatnya nak singgah jalan-jalan di One Utama tapi tengokkan kesesakan parking di One Utama, baiklah jangan cari penyakit.... elok balik rumah, mandi dan berehat. Dah tua-tua ni, mana larat nak berjalan...

Friday, September 25, 2009

Ibu makan apa?

Akak sedang membaca blog salam dari kelang. Tengah syiok baca, tiba-tiba Aisyah datang bertanya,

Aisyah: Ibu makan apa?

Ibu : Tak da apa-apa... ( Sambil berusaha menyorokkan chewing gum bawah lidah ).

Aisyah: Ibu makan chewing gum ye!!!!......... ( Sambil mencuba membuka mulut akak dan menyebut 'aaaa'....... dan mengangakan mulutnya.

Ibu : 'aaaaaa' hmmmmm mana ada?....

Aisyah: ( Kembang kempis hidungnya mencuba/mencari bau.....) Iye......

Ibu : Mana ada apa-apa... ( Chewing gum bawah lidah... mulut di nganga luas-luas.....)

Aisyah: ( Berlalu pergi....).

Gitulah selalunya. Akak memang selalu mengunyah chewing gum kerana disarankan agar boleh menambahkan pengeluaran air liur dan tekak taklah terasa kering sangat.(Kami, pesakit buahpinggang tak boleh minum air banyak-banyak. Cuma 500ml sahaja sehari yang dibenarkan.) Tapi bila Aisyah nampak akak ada sebotol wrigleys/mentos chewing gum ke..... habislah sebotol dikerjakannya. Habis dikendurikannya.



Thursday, September 24, 2009

Kisah Puan.

Kisah ini dah lama berlalu. Baru pagi tadi telah diingatkan oleh kak ani untuk diceritakan dalam blog ini.

Ketika kejadian ini akak masih tinggal di Pulau Pinang. Kami tidak mempunyai pembantu rumah waktu itu...

Anak-anak ketika itu sedang cuti sekolah. Bila dah hanya duduk dirumah, kerjanya hanyalah menyepahkan rumah. Ambil kertas A4, lukis gambar ataupun gunting-gunting....akhirnya ditinggalkan berlambak-lambak.

Akak pula selepas pulang dari pasar, kena mengemas rumah dan memasak. Melihatkan sampah dan rumah yang berselerak, akak pun naiklah marah. " My blood pressure go up U know".
Maka berleterlah akak dan mengertak mereka dengan rotan.
Dah puas marah, akak pun kata," Sekarang, jangan sapa pun panggil ibu.....panggil Puan....".

Setelah dimarahi mereka pun berkurung diri dalam bilik. Akakpun meneruskan kerja-kerja akak.

Semasa akak sedang mengangkat jemuran diluar rumah, tiba-tiba kedengaran suara familiar sangat...

Anak: " Puan, ada talipon puan......"

Akak yang mendengar panggilan 'puan', terus memalingkan muka mengadap kain dan ketawa . Menjadi pula panggilan 'puan' tu. Tapi, terkejut juga sebab akak dah lupa.

Wednesday, September 23, 2009

Kisah Ummi Qasrina dan Tan Hon Ming




Semalam, umi qasrina telah mengalami kecederaan semasa bermain bersama-sama sepupunya. Sewaktu dia cuba melompat dari kerusi sofa dia telah terjatuh terlentang dan kepalanya terhantuk terkena bucu grandfather clock. Sewaktu abahnya pergi ke ruang tamu untuk menjemputnya makan malam, abahnya ternampak umi qasrina sedang terbaring menangis kesakitan dan sedang ditenangkan oleh kakaknya, Ain.

Umi qasrina dibawa masuk kebilik dan dibersihkan luka di kepalanya. Darah kena pada baju tidurnya dan abah mambersihkan lukanya. Olehkerana rambutnya tebal, jenuh juga abahnya menyelak untuk mencari luka di bahagian belakang kepalanya. Umi Qasrina menangis kesakitan apabila luka tersebut dicuci dengan alkohol swap.

Mak ngah tati yang mempunyai klinik sendiri ada membawa bekalan ubat dan bandage. Setelah dibalut luka dan diberi ubat, umi qasrina pun tertidur. Mak ngah tati dan bekalan perubatannya menjadi tumpuan saudaramara yang berkunjung sewaktu raya. Pernah saudara kami yang mengalami 'asthma', sewaktu datang beraya mendapat rawatan 'nebuliser' dari mak ngah tati.

Tan Hong Ming pula, setelah bermain kejar mengejar dengan sepupunya hazim telah mengalami kesukaran untuk bernafas 'asthma'. Dia juga perlu di rawat dengan memakai nebulizer.

Sebenarnya drama di atas bukanlah salah satu karya Arwah Yasmin. Ini adalah drama hari raya rumah atok.

Umi Qasrina adalah anak akak yang bungsu iaitu Aisyah Sakinah. Tan Hong Ming pula adalah sepupunya Aiman. Mereka berdua adalah kawan baik yang amat serasi bersama. Aiman seorang anak sulung yang bertanggungjawap dan pandai menjaga Nadia, adiknya. Aisyah cukup seronok jika bermain dengan Aiman kerana Aiman berlembut dengannya seperti Aiman menjaga adiknya. Jika ada kesempatan berjumpa, mereka akan bermain bersama-sama. Dimana ada Aiman, di sisinya pasti ada Aisyah. Jika Aiman bangun dahulu, Aisyah dicarinya. Bagai belangkas, ibaratnya. Memang macam iklan Tan Hong Meng dan Umi Qasrina.

Tuesday, September 22, 2009

Hari Raya.

Inilah the famous Bik Azai. Masa akak kenal kat Mekah dulu, akak panggil beliau kak zai. Lepas dijodohkannya akak dengan suami akak, akak memanggilnya Bibik.

Kunjungan balas dari keluarga bibik Azai

Anak akak dengan adik sepupunya.. (sapa kata akak takda anak teruna?)

Beginilah keadaan bila semua cucu atok berkumpul

Mak Ngah Tati dan anak bujang kecilnya

Acu Amirah dengan anak saudaranya.


Anak-anak akak cukup seronok beraya bersama-sama atok, opah, acu, pak ngah, mak ngah, mak da, pak da, pakcik wi dan makcik lin. Tapi, yang paling depa seronok bila semua sepupu dapat raya sama-sama. Maka berkumpullah zahrah, qeeb, ain, aisyah, firdaus, hamzah, hakim, haziq, hazim, hafiz, aiman, nadia, umar, iman dan emil.

Aisyah akan bermain bersama-sama aiman, nadia, emil dan hazim. Qeeb akan berbincang mengenai komputer bersama acunya. Zahrah akan melayan semua adik-adik sepupu manakala ain tetap ain. Selagi ada kucing,.... tak perlulah beramai-ramai. Tiap kali matanya bengkak kerana allergi pegang kucing, dia akan mengatakan...." oooooo..saya pegang dia sebab dia so cute...".
( Anak akak memang pantang pegang kucing kerana mereka allergi, habislah bengkak mata mereka jika mereka memegang kucing ).

Pada hari raya pertama kami beraya di rumah mak saudara yang bernama Pn Hajah Fatimah aka bibik. Memang rumah bbik akan jadi tumpuan kerana bibik senantiasa menyediakan juadah istimewa melaka seperti daging masak asam, sayur lodeh, sambal pucuk tahu, sambal sotong, rendang, kuah kacang dan rendang ayam. Maka akan penuhlah hidangan di atas meja untuk bibik jamukan sanak saudara. Saudara mara semuanya sedia maklum bahawa hanya di rumah bibik sajalah tetamu akan dapat merasai juadah raya istimewa orang melaka. Begitulah bibik, sentiasa menjadi tumpuan sanak saudara.

Pada tengahari bawa ke petang, akak cuma berehat dan menanti kedatangan saudara mara.

Pada sebelah malamnya, kami berkunjung ke rumah sepupu yang mempunyai bapa saudara yang tinggal bersamanya dan juga akan menyediakan makanan istimewa. Pendek kata, tak akan hampa lah kalau kerumahnya.

Pagi raya kedua, akak menumpang dialysis di Hospital Melaka. Sebaik tiba di bilik dialysis, seorang makcik memandang sayu suami akak dan mengatakan ," Bukan ke Doktor dulu kerja di sini?..". Selepas suami akak mengiyakan, pesakit itupun mengenalkan dirinya bahawa 18 tahun dahulu dia pernah mendapatkan rawatan dari suami akak dan masih mengingati bahawa suami akak sebagai seorang doktor yang lembut tuturkata dan perawakan dan pernah merawatnya.
Begitulah suami akak, sentiasa di tegur oleh bekas-bekas pesakit yangmana dia sendiri pun sudah tidak mengenali pesakit tersebut.

Selesai dialysis, kami pulang dan keluar semula bersama seisi keluarga untuk beraya di Parit Tunggul, Muar untuk menziarahi nenek saudara sebelah ayah mertua.

Wednesday, September 16, 2009

Anak-anak suka pergi hotel.

Pernah semasa kami tinggal di Pulau Pinang, Ain melukis peta rumah pergi ke hotel. Tapi tidaklah dinyatakan dimana hotel tersebut.

Ain : " Abah, nak pergi hotel...."
Abah :" Hotel kat mana?..."
Ibu : " Iyelah... jom jalan-jalan pegi Cameron ikut jalan yang ainol selalu guna dari simpang pulai."
Abah : " Okaylah.... jom siap...."

Serta merta semua dah siap. Terus menuju ke Cameron Highlands. Dapat duduk Hotel Equatorial walaupun tak sempat booking. Terjah aje. Kebetulan bukan musim cuti sekolah....

Fahamnya Aisyah.

Akak sedang duduk di meja makan bersama Aisyah.

Akak : "Aisyah, bagi ibu minum boleh?"
Aisyah: "Tak boleh!... ibu kan shakit....."

Wah.... faham dengan situasi akak tak boleh minum lebih dari 500ml. Baru berusia 4 tahun 4 bulan dah memahami keadaan kesihatan akak. Alhamdulillah.

Tuesday, September 15, 2009

Zahrah-pelembut dan pemaaf.

Teringat akak ketika zahrah masih kecil dahulu. KLCC baru dibuka untuk pengunjung. Kami, seperti orang ramai yang lain, turut mengambil kesempatan membawa zahrah dan qeeb mengunjungi tempat yang di war-warkan terhebat untuk dilawati kerana menara berkembar yang tertinggi di Asia Tenggara.
Setelah penat berjalan melihat taman permainan yang berada diluar kawasan KLCC, kami pun membawa anak-anak masuk kedalam KLCC untuk membeli belah. Setelah menjamu selera dan mata, zahrah merasakan ingin membuang airkecil. Masih teringat lagi dialog kami di dalam tandas.
Ibu/Akak: "Hmmm... kenapa tadi tak buang air puas-puas kat rumah... Kan dah nak kena beratur dan tunggu lama-lama macam ni. "
( Memangpun kerana kunjungan terlalu ramai pengunjung, membuatkan untuk ke tandas perlu beratur lama.
Zahrah: " I'm sorry for troubling you."
Ayatnya ringkas tapi penuh makna. Akak terus memeluknya kerana rasa sangat terharu dan bersalah kerana mengomel benda yang tak sepatutnya. Akak la akak......

Ain-mana giraffe ain?

Sewaktu kecil dahulu, Ain mempunyai patung giraffe yang amat Ain sayangi. Kemana sahaja Ain pergi, patung itu akan dibawa bersama. Tetapi, seandainya patung tersebut tertinggal dimana-mana, kami sekeluarga akan terpaksa mengingatkan semula dimana patung tersebut tertinggal. Pernah sekali ketika dalam perjalanan pulang dari makan malam di restoren Craven Cafe di Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Sedang dalam perjalanan pulang kerumah, Ain terus teringatkan patung giraffenya.
Ain: " Mana patung ........" belum pun ayat dihabiskan, seisi keluarga sudah mengetahui apa yang Ain mahu. Lalu masing-masing teringat, ain tertinggal patungnya di Craven Cafe. Maka, berpatah semula lah abahnya ke Craven Cafe untuk mengambil semula patung kesayangan Ain.
Tapi sekarang, Ain sudah melupakan sahabat baiknya cik giraffe. Sebelum kehilangan cik giraffe, matanya telah buta sebelah.

Qeeb-pembedahan tangan kiri.

Ketika Qeeb berusia 8 tahun, qeeb pula mengalami patah tangan kiri. Puncanya adalah kerana pergaduhan dengan kakaknya iaitu zahrah. Zahrah cuma menyekat pergerakan kaki qeeb dengan menghalang kakinya ketika qeeb ingin melangkah dan terjatuhlah qeeb. Memang kelihatannya tidaklah begitu parah jatuhnya tetapi apabila qeeb mengadu sakit, abahnya segera membawa ke Hospital Pulau Pinang untuk diperiksa oleh doktor pakar tulang. Sebaik mengetahui tangan qeeb perlu dibedah, abahnya menalipon dan memberitahu akak. Sungguh terkejut akak kerana pembedahan itu akan dibuat dengan segera dan akak harus ke hospital. Dalam pada ketiadaan pembantu rumah, akak terus membawa anak-anak ke hospital untuk melihat keadaan qeeb. Sebaik selesai dibedah, qeeb terus terjaga sebaik dibawa ke wad pemantauan. Bagai tidak terasa sakit, qeeb bingkas bangun kerana hendak buang air katanya. Dalam keadaan akak kelam kabut memikirkan macamana nak bawa qeeb ke bilik air, qeeb sudah bingkas bangun dan menuju kebilik air. Kuatnya semangat dia.
Sebaik doktor melihat keadaannya semakin baik, qeeb dimasukkan kedalam wad kanak-kanak Hospital Pulau Pinang. Akak menemankannya u tuk 2 malam lagi.
Semasa doktor menarik besi yang pada mulanya dimasukkan buat sementara pada tulang tangan qeeb yang patah, ketika itu kesakitan yang ditanggung hanya mampu ditahan dengan menjerit sekuat hatinya. Belas dan hiba hati akak dan abahnya melihat penangungan sakit qeeb.
Syukur Alhamdulillah, segalanya pulih seperti sediakala dan kami dibenarkan keluar wad.
Qeeb mendapat cuti selama sebulan oleh kami. Guru Besar sangat terkejut kerana sebulan qeeb tidak kami beri pergi ke sekolah.
Walaupun, sebulan qeeb tidak ke sekolah, pelajarannya tidak merosot malah dapat dilihat ada peningkatan. Pada tahun tersebut juga, qeeb dapat meraih nombor satu dan menerima hadiah pada hari penyampaian hadiah.

Zahrah dan pembedahan tangan kanan.

Sewaktu masih berusia 4 tahun, zahrah telah mengalami patah tangan kanan akibat melompat dari kerusi sofa kelantai. Mudah saja jatuhnya tidaklah nampak merbahaya sangat, tapi bila dibawa ke hospital dan di x-ray, kelihatan tulang tangan kanannya terkeluar dan perlu untuk dibedah.
Sebaik mendapat tarikh utuk dibadah, zahrah dibawa ke Institut Pediatrik, Jalan Dr. Latiff. Sehari sebelum dibedah, atuk, opah dan acunya datang ziarah. Kami semua dijamu dengan ayam goreng ANW. Pembedahan akan dilakukan oleh Pakar tulang iaitu Dr Aaron di Dewan Bedah, Hospital Besar Kuala Lumpur. Pagi-pagi, akak dan suami mengiringi zahrah menaiki ambulan untuk ke Hospital Besar yang berada tidak jauh dari Institut Pediatrik.
Sebaik tiba di Dewan Bedah, Zahrah di temani oleh abahnya memasuki bilik pembedahan. Semasa sebelum diberi ubat bius, zahrah menangis sedikit kerana takut tapi berjaya ditenangkan oleh abahnya. Sebaik keadaan tenang, zahrah dibaringkan dan diberi ubat bius. Akak hanya dapat menunggu di luar bilik bedah..
Sebaik selesai zahrah dibedah, dia dihantar pulang ke wad di Institut Pediatrik. Pak ngah, mak ngah, mak da dan pak cik wi datang menziarah. Macam-macam permainan yang mereka belikan untuk zahrah. Akak pula bermalam di hospital menemankan zahrah tidur dengan membawa sekali qeeb yang ketika itu masih bayi berusia 3 bulan. Untung juga dapat gunakan katil bersebelahan untuk tidur. Esoknya, kesemua kami dapat pulang kerumah.

Qeeb-baju tidur.

Semasa Qeeb masih kecil, bila memakai baju tidur, qeeb suka sangat kalau 'tight in'. Baju tidur tu, dia suka dimasukkan dalam seluar tidur. Dia tak suka serebeh-serebeh.
Masa kecil, hanya dua atau tiga batang giginya tidak begitu puteh. Pernah suatu ketika, qeeb terjatuh dalam bilik air semasa melompat-lompat ketika sedang mandi. Giginya bahagian atas, patah sedikit. Kami gemar memanggil, 'gigi serpih'.
Qeeb jika dah tertidur, memang sukar hendak membangunkannya. Pernah sekali, semasa dia masih kecil berusia dalam 3 tahun, akak membawanya ketika ingin mengambil zahrah daripada tadika. Sebaik akak hidupkan enjin kereta, qeeb terus tertidur. akak pula terlupa bahawa pintu kereta kami tu 'central lock'. Aduhs... sebaik akak tolak pintu, terkunci semua pintu. Qeeb pula sebaik terkena air-cond, terus lena.. Puaslah akak dok ketuk-ketuk pintu dan tingkap, Tidak pula dia bangun.
Setelah agaklama mencuba mambangunkan qeeb, siap dengan goncangkan kereta.... masih tak bangun, akak cuba talipon bomba/polis minta bantuan, Mereka tak berminat pun nak datang tolong.
Akak mencuba untuk buat seketika sehinggalah 45 minit kemudiannya, qeeb terjaga dari lena dan terus membuka pintu. Begitulah, qeeb kalau sudah tertidur.

Zahrah-bawang.

Sejak dari kecil, Zahrah sangat tak suka bawang. Jka dalam masakan terdapat bawang, dia akan cuba membuangnya. Jika disuap makanan (semasa kecil) dan dia terasa ada bawang, dia akan termuntah. Memang payah nak beri dia makan. Jika makanan tersebut tidak kelihatan/terasa bawangnya, dapatlah dia memakannya. Memang pelik.
Sehinggakan kami selalu mengusiknya. Dia cukup suka makan coklat, ais kerim, twisties dan makanan ringan yang lain. Kami mengatakan dalam semua makanan tersebut memang ada bawang, cuma dia tak nampak. Memang menjadi kepantangannya jika terjumpa bawang dalam masakan.
Abahnya pernah berkata: " Nanti, rumah kakak, memang tak akan perlu beli bawang... Abah nak tenguk kakak boleh masak apa...".

Qeeb-unagi.

Qeeb pula adalah seorang yang gemar mencuba makanan dan minuman baru. Jika diberi sesuatu makanan yang baru, dia akan mencuba. Umpamanya, jika kami pergi makan sushi, hanya Qeeb dan abahnya yang akan memakan unagi. Mereka berdua sahaja dalam keluarga kami yang gemar makan unagi. Begitu juga dengan makanan yang lain, Qeeb tidak cerewet. Qeeb dan Aisyah memiliki selera yang serupa. Mudah jika hendak dijamu makan/masak.
Ain dan Zahrah pula, mempunyai selera agak serupa. Zahrah sangat suka sambal sotong dan nasi lemak. Tanpa sambal sotong, zahrah tidak begitu berselera makan nasi lemak. Seleranya juga amat terhad. Ain tak suka pedas, zahrah pula amat menggemari masakan pedas. Tapi, Aisyah dan Qeeb..... tak kiralah pedaske, tak pedas ke...... hentam ajelah.

Ain-selera makan.

Ain telah mula berpuasa sejak berusia lapan tahun. Sememangnya Ain memang tidak begitu gemar makan dan hanya memilih makanan yang biasa dia makan seperti roti dan tuna, nasi dan telur dan ikan goreng. Seleranya sangat terhad. Jika makanan tersebut bercili, dia tidak akan menjamahnya.
Begitu juga dengan air minum. Ain hanya akan minum susu full cream milk, milo, sirap, air 100 plus dan air bandung. Jika diberi air kelapa atau tebu, Ain tidak akan meminumnya.
Begitulah selera Ain. Cukup terhad.

Monday, September 14, 2009

Aisyah dan ayat sakit.

Setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat .... setiapkali Aisyah bangun dari tidur akak sudahpun pergi ke hospital untuk rawatan dialysis. Dan bila tiba hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.. Aisyah akan tidur dengan tenangnya sehingga pukul 11pagi.
Pada permulaan Aisyah ditinggalkan semasa akak mula-mula mendapatkan rawatan dialysis, Aisyah akan bertanya, " Kenapa ibu pergi hospital?... Ibu sakit?... Nanti dah besar Aisyah nak jadi doktor tolong ibu sakit...".
Dan pada setiap malam, Aisyah akan bertanya..." Ibu sakit?...". "Aisyah sayang ibu pasal ibu tak sakit."
Semasa akak belum buat pembedahan untuk Fistula (menyambung urat di lengan untuk memudahkan pengaliran darah), akak perlu buat aksesais tangan. Suami akak menyediakan bola kecil untuk akak aksesais. Aisyah akan segera mengingatkan akak untuk eksesais dan akan mencari bola tersebut walaupun bola tersebut berada di bawah katil. Aisyah akan merangkak masuk kebawah katil dan mengambilkan bola tersebut.
Semalam, pertama kali Aisyah tak dapat menjawap pertanyaan akak.
Dia memulakan ayat :" Aisyah sayang ibu bila ibu tak sakit...".
Akak bertanya pula : "Kalau ibu sakit, Aisyah tak sayang ibu?..."
Aisyah tidak dapat menjawapnya dan terus menjawap : " Aisyah sayang ibu..".
Memang payah untuk memberikan jawapan.

Aisyah-komputer kecik.


Kisah Aisyah ni memang menarik. Sekarang beliau berusia 4 tahun 3 bulan. Dia amat meminati permainan game boy dan bermain komputer. Suami akak ada menyediakan desktop komputer untuk digunakan oleh Aisyah. Aisyah amat asyik jika dapat bermain dengan komputer tersebut.

Pada sambutan hari lahir Aisyah baru-baru ini, abahnya menghadiahkannya katrij permainan pokemon dan alat permainan gameboynya adalah gameboy lama. Aisyah amat senang sekali apabila menerima hadiah tersebut sehinggalah pada hari sambutan tarikh lahir kakaknya Qeeb, yangmana abahnya menghadiahkan sebuah laptop kepada kakaknya.
Aisyah menangis dengan hibanya: " Masa birthday Aisyah, abah bagi katwij (cartridge) saja...tapi masa birthday qeeb, abah bagi laptop. Aisyah pun nak lap-top kecik macam qeeb.....".
Aduh.... macam ini lah anak-anak zaman sekarang...Dah pandai minta sesuatu yang tak padan dengan umur dan pandai membezakan nilai katrij dan laptop.



Let's Play A Fun Game :)

Our Mother ! (:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails